SELANGOR FC
BERITA

Selangor FC Umum Abdi Hassan dan Shahrom Kalam Bagi Menggantikan Conor Nestor

Oct 14, 2024 - FAS

Pihak kelab bola sepak Selangor hari ini mengumumkan Abdi Hassan dan Shahrom Kalam sebagai dua Penolong Ketua Jurulatih Gergasi Merah yang baru bagi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh Conor Nestor yang berhijrah ke Kemboja baru-baru ini.

Abdi Hassan, wajah yang tidak asing lagi dalam kem kejurulatihan SFC di mana beliau sebelum ini membimbing skuad B23 yang kini mendahului saingan Piala MFL 2024/25. Dilantik secara ‘interim’, Abdi Hassan memiliki latar belakang kejurulatihan yang pelbagai, serta pengalaman luas bekerja bersama pasukan muda menjadikan beliau individu terbaik bagi menggalas tugas ini.

Seorang lagi rekrut terbaru Selangor FC bagi membantu Nidzam Jamil adalah Shahrom Kalam, bekas pemain kebangsaan yang terkenal dengan peranannya sebagai pertahanan tengah Gergasi Merah, di mana beliau berkhidmat sebagai kapten pada musim 2014-2016. Dikenali kerana sifat kepimpinan di padang serta kemahiran defensif yang kukuh, Shahrom banyak membantu pasukan sehingga muncul juara Piala Malaysia 2015.

Setelah mengakhiri karier sebagai pemain, Shahrom banyak terlibat dalam pembangunan bola sepak serta kejurulatihan, dengan fokus kepada pemupukan bakat muda dalam sukan ini. Legasinya di Selangor FC ditandai oleh dedikasi dan komitmennya kepada pasukan, menjadikan beliau individu yang tepat untuk terus membantu Gergasi Merah bagi mengharungi musim ini dan seterusnya.

Sempat ditemubual, Ketua Jurulatih SFC, Nidzam Jamil gembira dan teruja dengan kehadiran dua muka baru untuk terus membantu Gergasi Merah. “Abdi bukan lagi wajah asing dalam keluarga Gergasi Merah, pengalaman luas beliau serta kemampuannya membangunkan bakat muda bagi peringkat tertinggi amat ditagih pasukan. Manakala untuk Shahrom, satu lagi wajah yang cukup sinonim dengan bola sepak Merah Kuning. Sifat kepimpinan beliau, pengalaman sebagai pemain, semangat serta dedikasi beliau terhadap pasukan bakal menjadi elemen positif yang akan dibawa oleh beliau ke dalam pasukan,” ujar Nidzam.

Dikesempatan ini, pihak kelab juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih buat Conor Nestor di atas segala sumbangan beliau sepanjang khidmatnya sebagai Penolong Ketua Jurulatih SFC dan ingin mengucapkan selamat maju jaya bersama kelab baru di Kemboja.

Demi kebanggaan!